Sejarah SKPJ

SEKOLAH KEBANGSAAN PENGHULU JUSOH

PENUBUHAN


Sekolah Kebangsaan Penghulu Jusoh ini mula dibina pada tahun 1929. Semasa dibina, ia mempunyai satu blok bilik darjah sahaja. Pada peringkat awal, sekolah ini beratapkan daun nipah dan bertingkapkan kayu. Kayunya diambil dari Lubuk Getah dan Padang Kabu (jalan menuju ke Paya Rawa). Memandangkan hutan masih tebal dan jalan terlalu sempit, kayu-kayu terpaksa ditarik dengan kerbau. Penduduk-penduduk Tobiar ketika itu bergotong-royong mendirikan sekolah. Kerja-kerja ini dilakukan atas arahan Datuk Penghulu Jusoh b. Hj. Ahmad, Penghulu Mukim Tobiar ketika itu. Selepas kematian beliau, usaha ini diteruskan oleh anak ketiganya iaitu Penghulu Hasan Bin Jusoh.


Sekolah ini mempunyai 7 bangunan utama yang terdiri daripada kelas, surau, kantin dan makmal komputer. Bangunan Blok A merupakan bangunan pertama yang mula digunakan pada tahun1929. Guru Besar sekolah ini pada ketika itu ialah Encik Abdullah Bin Mahmud. Bangunan kedua pula iaitu Blok B mula dibina pada tahun 1952. Seterusnya batu asas bangunan seterusnya iaitu Blok C telah disempurnakan pada 11 Julai 1978, oleh Y.A.B Datuk Seri Mahathir Bin Mohamad, Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu.

Nama asal sekolah ini ialah Sekolah Melayu Tobiar, kemudian bertukar kepada nama Sekolah Umum Tobiar, selepas itu bertukar pula kepada nama Sekolah Kebangsaan Tobiar. Pada 14 Januari 1985, nama sekolah ini telah ditukarkan kepada Sekolah Kebangsaan Penghulu Jusoh dengan mengambil nama tokoh penghulu dan telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Megat Junit bin Megat Ayob, Menteri Perusahaan Utama pada masa itu. Sehingga hari ini, Sekolah Kebangsaan Penghulu Jusoh masih kekal utuh menyebarkan pendidikan berkualiti kepada 367 orang murid yang begitu komited dan bermotivasi terhadap pembelajaran.



No comments:

Post a Comment